1.0 Pendahuluan
Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para sarjana
tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan istilah. Terdapat beberapa
istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering digunakan
ialah ‘civilization’ dalam bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban dalam bahasa
Melayu, maddana, umran dan hadarah dalam bahasa Arab. Setiap istilah ini
mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan
kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang
sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun
berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan definisi tamadun yang
pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli antropologi, tamadun
dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula menegaskan, tamadun
dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak) yang boleh digunakan
oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat lampau.
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun bermula dengan
pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan
Pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi dan rasul
diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan manusia
umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang
memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan
material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap
untuk manusia membina tamadun.
Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina
apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat.
Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi
matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman
keruntuhan.
1.1 Peristilahan Tamadun
Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para
sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut:
• ‘Umran
• Hadharah
• Madaniyah
• Tamadun
• Civilization
• Peradaban
1.1.1 Istilah Umran dan Hadarah
Istilah umran dan hadarah diperkenalkan oleh Ibn Khaldun
(14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan
dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun. Istilah umran
digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadun; iaitu kawasan tanah
yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu
kawasan. Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap (M.A.J.
Beg, 1982a, , 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk maksud pembangunan
dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini bermakna
apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar.
Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.
Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat
yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:
• Aspek keagamaan
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni khat dll.
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam
pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan
penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan
kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar
pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga
merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang
bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan.
Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi.
Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar
adalah seperti berikut:
• Udara yang bersih
• Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan
perhubungan
• Sumber makanan asasi
• Berhampiran dengan sumber binaan
• Kawasan penternakan (M.A.J. Beg, 1982a; 1995)
.
1.1.2 Istilah Madaniyah
Istilah madaniyah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi
(19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M) (M.A.J. Beg, 1982b). Istilah ini juga
merujuk kepada makna tamadun. Perkataan madaniyah diambil daripada perkataan
madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban
atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara keempat-empat
perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan maksud perkataan
civitas dalam bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan madinah menjadi pusat dan
lambang kemunculan tamadun.
1.1.3 Istilah Tamaddun
Istilah tamaddun yang mempunyai maksud yang sama dengan
civilization telah diperkenalkan oleh Jurji Zaydan, seorang penulis Arab
(M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.4 Istilah Civilization
Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk
menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini
diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota
merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun (Beg, 1982). Civilization
juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan masyarakat yang
mempunyai tahap kehidupan yang tinggi (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003).
Para sarjana barat pula telah memberi beberapa gambaran
berikut bagi masyarakat yang bertamadun.
i. Collingwood:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mencapai
tahap kehidupan civil iaitu kehidupan sopan. Masyarakat civil ini akan
melahirkan masyarakat bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budi.
ii. Samuel Johnson:
Masyarakat yang bertamadun ialah suatu keadaan yang
bertentangan dengan kehidupan biadab (barbaric). Masyarakat ini telah mencapai
tahap kesopanan yang tinggi.
iii. Gordon Childe (sejarawan):
Pencapaian material adalah lambang ketamadunan. Civilization
mempunyai persamaan dengan revolusi perbandaran. Pengukuran tamadun adalah
berdasarkan kepada kewujudan bandar. Beliau menyamakan erti tamadun dengan
revolusi bandar kerana apabila berlakunya revolusi bandar di satu-satu kawasan,
maka akan lahirlah satu tamadun baru di kawasan berkenaan.
iv. Edward L. Farmer:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang memiliki
unit kebudayaan yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan
institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Beliau
juga memasukkan beberapa ciri berikut bagi menggambarkan masyarakat yang
bertamadun iaitu:
• Penempatan kekal
• Revolusi pertanian
• Stratifikasi sosial
• Kewujudan agama
• Urbanisasi
• Pengkhususan kerja
• Sistem tulisan.
v. Darcy Riberio (Ahli antropologi):
Proses kehidupan bertamadun melibatkan aspek-aspek berikut:
• Penyebaran teknologi pertanian – berakhirnya corak
kehidupan nomad.
• Wujud aktiviti perternakan dan pengkhususan kerja
berasaskan kelompok kemahiran.
• Revolusi bandar – pertumbuhan bandar dan negara, wujud
stratifikasi sosial.
• Penggunaan peralatan tembaga dan gangsa.
• Wujudnya sistem tulisan, angka, kalendar dan lain-lain.
• Revolusi pengairan
• Revolusi penghasilan inovasi teknologi berasaskan besi
• Revolusi penternakan
• Revolusi perdagangan
• Revolusi teknologi
• Revolusi industri
vi. E.B. Taylor (ahli antropologi):
Tamadun merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk
pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan serta
tabiat-tabiat lain yang diusahakan oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
vii. Albert Schwetzer (ahli falsafah Jerman):
Tamadun merupakan keseluruhan kemajuan hasil daripada
tindakan dan pemikiran manusia yang membawa kepada penyempurnaan kerohanian
seseorang individu (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003; M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.5 Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa Melayu yang sering
dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut Kamus Dewan, masyarakat
yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan
dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan
masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta
perkembangan pemikiran sama ada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain
yang tinggi (Kamus Dewan, 2002).
Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk kepada satu
keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu material dan spiritual dalam
kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini membentuk pencapaian asas dalam kehidupan
masyarakat bertamadun. Antara pencapaian tersebut ialah seperti berikut:
• Kehidupan beragama
:: Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau
pembinaan tamadun.
:: Kehidupan menetap.
:: Kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran.
:: Tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan hadarah
bukannya badawah.
:: Kemajuan rohani dan jasmani.
1.2 Masyarakat Maju
Pada masa kini, penggunaan istilah masyarakat maju lebih
dominan daripada istilah masyarakat bertamadun. Masyarakat maju diertikan
sebagai masyarakat yang mempunyai tahap kemajuan sains dan teknologi serta
ekonomi yang berasaskan perindustrian. Justeru itu, muncul beberapa istilah
khusus untuk menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang diukur dari
aspek pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
* Negara-negara maju (yang telah membangun). Antara
negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah:
:: Amerika Syarikat
:: Britain
:: Perancis
:: Kanada
:: Australia
:: New Zealand
:: Jepun
* Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan
pembangunan yang pesat dalam jangka masa yang agak lama seperti:
:: Republik Rakyat China
:: Mexico
:: India
:: Malaysia
:: Thailand.
* Negara-negara yang mempunyai rekod pembangunan yang kurang
pesat, iaitu:
:: Benua Afrika
:: Amerika Tengah
:: Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica dalam kategori
kedua)
:: Arab
:: Asia Tenggara (kecuali Singapura – kategori pertama,
Filipina, Malaysia, Brunai dan Thailand – kategori kedua).
76% negara-negara dunia termasuk dalam kategori ini. Oleh
sebab itulah negara–negara ini disebut juga sebagai negara ‘Two-Thirds World’
kerana :: daripada negara-negara dunia termasuk dalam kategori ini iaitu negara
yang tidak membangun.(Wikipedia)
* Negara-negara yang tidak membangun atau negara yang
sentiasa berhadapan dengan siri peperangan yang panjang atau suasana politik
yang tidak stabil. Negara-negara ini di sebut juga sebagai ‘failed states’.
Antara negara-negara tersebut ialah :
:: Haiti
:: Somalia
:: Sudan
:: Burma
:: Korae Utara (Wikipedia).
Selain itu, pembahagian negara juga dibuat berdasarkan
pengkelasan dunia iaitu:
:: Negara-negara Dunia Pertama
:: Negara-negara Dunia Kedua
:: Negara-negara Dunia Ketiga
:: Negara-negara Dunia Keempat
:: Negara-negara Dunia Kelima
Negara-negara Dunia Pertama disebut juga negara yang telah
membangun (Developed countries) seperti negara-negara Liberal Barat.
Negara-negara Dunia Pertama ialah negara yang mempunya pencapaian yang tinggi
dalam semua aspek, seperti berikut:
:: Kemudahan infrastruktur yang moden (fizikal dan
institusi)
:: Tahap kehidupan
:: Most Economically Developed Countries (MEDCs)
:: Negara-negara perindustrian
:: Pendapatan per kapita
:: Human Development Index (HDI)
:: Gross Domestic Product (GDP) per kapita
Negara-negara Dunia Kedua ialah negara-negara Kesatuan
Soviet (USSR). Walau bagaimanapun istilah ini sudah tidak digunakan lagi sejak
tahun 1991 apabila USSR runtuh dan negara-negara dibawah kesatuannya berjaya
mendapat kuasa otonomi masing-masing. (Wikipedia).
Istilah Negara-negara Dunia Ketiga mula digunakan oleh
seorang ahli demografi bernama Alfred Sauvy yang merujuk kepada Third Estate.
Kebanyakan negara yang termasuk dalam kategori ini ialah negara-negara yang
mendapat kemerdekaan daripada penjajah. Negara-negara ini disebut juga sebagai
negara yang sedang membangun (Developing Countries), The South. Negara-negara
yang termasuk dalam kategori ini ialah negara yang mempunyai kriteria berikut:
:: Less Developed Countries (LDCs)
:: Least Economically Developed Countries (LEDCs)
:: Undeveloped Nations
:: Non-Industrialized Nations Or Not Technologically
Advanced As OECD Countries (Organisation for Economic Co-operation and
Development)
:: Tahap kehidupan yang rendah
:: Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang sederhana ke rendah
Negara-negara yang sedang membangun meliputi 8 buah negara
Islam yang disebut Developing 8 (D-8 atau Developing Eight) iaitu:
i. Iran
ii. Indonesia
iii. Malaysia
iv. Pakistan
v. Bangladesh
vi. Turki
vii. Mesir
viii. Nigeria
Antara objektif pengenalan D-8 ialah untuk meletakkan
negara-negara dalam ekonomi dunia, membuka ruang untuk hubungan dagang,
menaikkan taraf hidup dan memberi peluang untuk membuat keputusan di peringkat
antarabangsa. Kerjasama utama termasuklah dalam pengurusan kewangan, perbankan,
pembangunan luarbandar, sains dan teknologi, pembangunan manusia, pertanian,
sumber tenaga, persekitaran dan kesihatan. (Wikipedia)
Ukuran klasifikasi negara-negara ini kepada beberapa blok
adalah berdasarkan beberapa pencapaian berikut:
:: Tahap pembangunan ekonomi yang rendah.
:: Tahap hidup yang rendah – Dari segi pencapaian
pendidikan, penjagaan kesihatan, dll.
:: Negara yang tidak berasaskan perindustrian tetapi
berasaskan pertanian dan penternakan.
:: Perkembangan sektor perindustrian yang tidak setara
dengan perkembangan penduduk.
:: Indeks Pembangunan Manusia yang rendah (Human Development
Index – HDI) - Pendapatan per kapita yang rendah
:: Pertumbuhan penduduk yang tinggi (Wikipedia).
Walaupun terdapat beberapa istilah yang digunapakai, tetapi
istilah yang signifikan dari segi penggunaannya ialah “negara membangun” dan
“negara yang sedang membangun” atau Third World. Dominasi istilah “negara atau
masyarakat maju” berbanding istilah “tamadun” amat berkait rapat dengan
kejayaan barat mendominasi kemajuan dunia keseluruhannya dari pelbagai aspek.
Hal ini bertambah kukuh dengan adanya teknologi canggih ciptaan barat seperti
teknologi komputer yang menjadi tunggak asas pelebaran teknologi maklumat ke
seluruh dunia. Selain itu, matlamat hidup hari ini yang bertumpu pada aspek
ekonomi dan keselesan hidup mengukuhkan penggunaan istilah masyarakat maju.
Semua negara dan masyarakat di dunia enggan di kategorikan sebagai sebagai
masyarakat mundur, sebaliknya mereka lebih bersedia diberi sandaran sebagai
masyarakat maju apatah lagi masyarakat moden.
1.3 CIRI-CIRI TAMADUN
Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri yang
menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi pertanian,
stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi
politik dan pengkhususan kerja.
1.3.1 Penempatan kekal
Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas dalam
mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan kota
dan bandar. Bermula dari kota dan bandar muncul pula unsur-unsur pembentukan
tamadun yang lain. Penempatan kekal akan dipilih berdasarkan lokasi yang
mempunyai ciri-ciri berikut:
• Kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir
pantai atau telok.
• Tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian.
• Kawasan yang selamat untuk penternakan.
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal masyarakat
bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah Sungai Nil, Tamadun
Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun India di Lembah Indus,
Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka
dan Selat Sunda.
1.3.2 Revolusi Pertanian
Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu sumber
sara hidup kepada pertanian bentuk komersil. Revolusi ini merupakan salah satu
bentuk peningkatan dalam tamadun. Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf
kehidupan melalui kegiatan berikut:
• Pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri
pertanian dan penternakan.
• Revolusi pertanian adalah pra syarat penting mewujudkan
peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan melahirkan revolusi
perdagangan.
1.3.3 Stratifikasi Sosial
Stratifikasi sosial turut menjadi aspek penting dalam
kehidupan masyarakat bertamadun. Kewujudan stratifikasi sosial dalam masyarakat
bertamadun berdasarkan pembahagian tugas dan tanggungjawab secara tidak
langsung. Sebagai contohnya, pengkelasan masyarakat bermula dengan pemilikan
tanah pertanian yang mewujudkan penempatan kekal dan seterusnya dapat mengumpul
kekayaan. Pemilikan tanah melahirkan golongan pemilik atau tuan tanah yang kuat
berusaha dan berpengaruh. Beberapa tuan tanah telah membentuk satu kelompok
golongan atasan, sementara buruh sebagai golongan pekerja atau hamba yang
membentuk golongan bawahan. Pengkelasan masyarakat seperti ini telah melahirkan
satu sistem kelas masyarakat yang di kenali dengan feudalisme. Dalam sistem
ini, golongan atasan merupakan golongan minoriti, sementara golongan bawahan
merupakan golongan majoriti.
Dalam masyarakat perindustrian hal ini tetap berlaku. Dalam
lembaran sejarah Barat, tuan-tuan kilang merupakan golongan atasan yang
mempergunakan sepenuhnya buruh atau pekerja kilang. Aktiviti tuan-tuan kilang
bertambah rancak apabila wujudnya sistem kapitalisma di Barat yang memberi hak
kebebesan individu. Stratifikasi sosial baru yang muncul di Barat telah memberi
satu pergolakan dalam masyarakat yang mendorong kepada pemikiran baru Karl Marx
yang berusaha untuk mencorakkan satu stratifikasi sosial yang tidak memberi
kebebesan hak individu. Pemikiran Karl Marx dikenali dengan komunisma.
Stratifikasi sosial baru yang dianjurkan oleh Karl Marx memberi kuasa kepada
negara, bukan individu . Semua rakyat adalah sama. Rakyat berkerja untuk negara,
bukan untuk tuan-tuan tanah atau tuan-tuan kilang. Stratifikasi sosial dalam
bentuk ini dapat mengatasi pergolakan masyarakat yang dicetuskan oleh tuan-tuan
kilang. Namun dalam pengalaman Soviet Union, stratifikasi sosial bentuk ini
masih tetap melahirkan pergolakan yang lebih dahsyat. Kini Soviet Union bukan
lagi satu kesatuan negara, sebaliknya negara-negara kecil yang telah mempunyai
kuasa otonomi masing-masing. Dengan kata lain, stratifikasi soisal komunisma
yang dianjurkan oleh Karl Marx menemui jalan buntu. Perkembangan ekonomi
selanjutnya yang banyak berkaitrapat dengan teori kapitalisma melahirkan
golongan pedagang yang mempengaruhi perubahan sosial masyarakat kerana mereka
merupakan golongan yang boleh mencorak masyararakat ke arah masyarakat maju.
Walau apapun bentuk kelas dalam masyarakat, stratifikasi
sosial pasti wujud, hanya bentuk dan hak dalam masyarakat yang berbeza.
1.3.4 Kehidupan beragama
Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri masyarakat
bertamadun. Dalam tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini sebagai
perkara asas. Manakala sarjana Barat yang turut memasukkan aspek agama sebagai
salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward L. Farmer manakala R.A.
Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks adalah ciri-ciri
kerahiban (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). Hal ini bukan sahaja wujud semasa
lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat
bertamadun, namun tamadun silam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam
pembinaan tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya perkara berikut:
• Kepercayaan
• Pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
• Peninggalan bangunan keagamaan
1.3.5 Urbanisasi
Kewujudan bandar atau kota yang menjadi pusat tamadun
mencetuskan proses pembandaran atau urbanisasi. Oleh itu, urbanisasi merupakan
salah satu ciri tamadun kerana bandar bertindak sebagai pusat pertemuan dan
kegiatan masyarakat. Revolusi bandar merupakan salah satu proses yang amat
penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat bertamadun. Kelahiran
kota dan negara adalah hasil daripada revolusi bandar. Dalam tamadun silam,
muncul juga kerajaan yang berbentuk “negara kota” atau city-state. Kemunculan
kota telah mewujudkan beberapa aspek dan institusi penting dalam pembinaan
tamadun seperti berikut:
• Penempatan kekal
• Pembentukan pusat pemerintahan iaitu kota, kerajaan dan
pertumbuhan tamadun.
• Institusi keagamaan
• Institusi pendidikan
• Institusi pemerintahan
• Institusi ekonomi.
1.3.6 Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi
Peningkatan dalam kehidupan memberi kesan kepada peningkatan
keperluan untuk memenuhi kehidupan. Justeru itu, lahirlah inovasi dan daya
kreativiti serta pengkhususan kerja. Maka dengan ini akan wujudlah pelbagai
aktiviti berdasarkan bidang khusus. Antara bidang yang muncul pada tahap awal
masyarakat bertamadun adalah seperti berikut:
• Perekonomian
• Pertukangan
• Seni bina
• Teknologi logam
Perkembangan ini melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai
bidang. Antara bidang yang muncul pada tahap awal adalah seperti berikut:
• Perkapalan
• Pembinaan pelabuhan dagang
• Penyediaan mata wang
• Penciptaan alat pengangkutan
Selain mencetuskan kemahiran teknologi, muncul juga
perkembangan yang meningkatkan daya kreativiti dan karya-karya estetika seperti
berikut:
• Seni lukis
• Seni ukiran
• Seni hiasan
• Seni tenunan dan anyaman
• Seni seramik
1.3.7 Sistem Tulisan
Tulisan merupakan salah satu bukti penting kewujudan
sesebuah tamadun yang dapat dipelajari dan disaksikan oleh genarasi kemudian.
Sistem tulisan dapat dilihat pada tugu-tugu peringatan, bangunan keagamaan,
makam, lembaran kertas, wang syiling dan lain-lain. Sistem tulisan lahir dan
berkembang berdasarkan perkembangan sesebuah tamadun. Pada peringkat awal,
sistem tulisan adalah dalam bentuk simbol, dan seterusnya berkembang membentuk
sistem nombor dan tulisan.
1.3.8 Organisasi Politik Dan Pemerintahan
Kewujudan sistem politik dan pemerintahan merupakan ciri
yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun. Kesatuan politik dan
budaya mewujudkan keutuhan tamadun. Antara bentuk pemerintahan yang wujud dalam
tamadun ialah:
• Homogeneous (serba sama). Kuasa pemerintah dalam bentuk
ini tidak dipersoal oleh rakyat. Contohnya, pemerintahan Firaun di Mesir dan
Kerajaan Byzantine.
• Heterogeneous (pelbagai bangsa), iaitu tamadun yang
mempunyai banyak pemerintahan seperti tamadun Mesopotamia dan Greek yang
mempunyai beberapa buah pemerintahan dan negara-kota (city-states). Begitu juga
Tamadun Islam yang mempunyai pelbagai bahasa, bangsa dan budaya.
• Monarchy atau beraja. Raja menjadi lambang ketamadunan
kerana raja dikaitkan pada sesuatu kekuatan seperti pada Tamadun Mesir, raja
berkonsep Tuhan dan Tamadun Melayu pula, raja mempunyai konsep daulat.
• Oligarchy atau demokrasi. Demokrasi memberi ruang kepada
sekumpulan yang memegang kuasa seperti sami dan cerdik pandai agama (Azhar Hj
Mad Aros dll, 2003).
1.4 KONSEP TAMADUN ISLAM
Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang
menetapkan world view Tamadun Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah
antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah
seperti berikut:
1.4.1 Definisi Tamadun Islam:
Berikut dikemukakan pelbagai definisi tamadun yang
diutarakan oleh para sarjana Tamadun Islam.
i. Ibn Khaldun
Beliau menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian manusia
yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke
arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai
estetika yang tinggi.
ii. M. A. J. Beg
Beliau membuat kesimpulan bahawa tamadun merupakan
pencapaian manusia dalam bentuk kata-kata, skrip, kesenian, senibina, agama,
undang-undang dan politik.
iii. Prof. Dr. Ahmad Shalaby
Tamadun Islam terbahagi kepada dua. Pertama, peradaban Islam
tulen yang menjadikan Islam sebagai sumber. Kedua ialah peradaban yang
dibangunkan oleh kaum muslimin dalam pelbagai bidang ilmu seperti matematik,
perubatan, astrologi, muzik dan lain-lain. (1975:26)
vi. Professor Syed Naquib Al-Attas
Beliau telah mentafsirkan Tamadun Islam sebagai satu keadaan
kehidupan masyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan tatasusila dengan
mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.
v. Syed Qutb
Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan
oleh sekumpulan masyarakat dalam seluruh dimensi kehidupan seperti dalam sistem
sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat
Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam (1989:112). Menurut beliau,
Tamadun Islam tidak boleh lari dari sibghatu’Llah atau acuan Allah (Ibid: 129).
Beliau mengambil contoh pencapaian tamadun yang telah di asaskan oleh
Rasulullah SAW. Tamadun Islam telah mencapai kemuncak keagungan dan terus
berkembangan pada zaman kemudiannya.
vi. Said Hawa
Melalui karyanya al-Islam beliau menyatakan bahawa tamadun
secara umum terbahagi kepada dua kategori sahaja iaitu Tamadun Islam dan
Tamadun Jahiliyah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas
kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan dengan kebudayaan Islam. Manakala
Tamadun jahiliyah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk
kebendaan tanpa mengambil kira aspek kerohanian dan moral.
vii. Lain-lain.
Ahmad Fauzi Haji Morad, Ahmad Tarmizi Talib, Aimini Amir
Abdullah dan Zarina Mohammad menyatakan bahawa tamadun merangkumi kebudayaan,
peradaban, kemajuan (kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Manusia tidak
akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak mempunyai masyarakat yang
bermoral. Kemajuan Tamadun Islam tidak terbatas hanya kepada kemajuan
kebudayaan semata-mata. Malah ia merupakan kemajuan yang berjalan serentak
dengan kerohanian. Seterusnya, mereka menyatakan bahawa Tamadun Islam ialah
meletakkan al-Din sebagai pembentukan tamadun manusia.
Ringkasnya, Tamadun Islam meliputi seluruh pencapaian dalam
kehidupan manusia. Pencapaian-pencapaian dan kemajuan-kemajuan yang dibangunkan
oleh manusia berjalan selaras dengan konsep Islam sebagai al-Din.
1.4.2 Aspek-aspek Penting Tamadun Islam
Terdapat tiga aspek penting dalam Tamadun Islam, iaitu:
i) Aspek manusia.
Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok, iaitu
dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan dan ke mana kita akan pergi.
Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menentukan hala tuju dan
pembentukan Tamadun Islam.
ii) Aspek masyarakat.
Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara berikut:-
(a) Hak untuk hidup.
(b) Hak untuk bebas.
(c) Maruah dan hak peribadi.
(d) Hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat.
(e) Keadilan dan kehakiman.
iii) Aspek sejarah.
Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu mekanisma
panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan mendorongkan
seseorang melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini
terbukti pada sebahagian kandungan al-Qur’an yang memaparkan sejarah umat yang
silam dan juga sejarah para nabi (anbiya’). Sebagai contohnya, Surah Maryam
menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa AS. Demikian juga
surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga salasilah keluarga
Nabi Isa AS. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS termasuk kisahnya
dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi
Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi Ayob dtimpa penyakit,
Nabi Syuib dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir
dan nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas.
Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan al-Qur’an
tetapi untuk dijadikan iktibar dan teladan perjalanan manusia hari ini dan akan
datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan melahirkan
tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati matlamat penciptaan manusia,
menghormati hak-hak asasi manusia dan menjadikan peristiwa silam sebagai
dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih dinamik.
1.4.3 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara penting yang
menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah, akhlak dan
ilmu. Empat asas ini dikuti dengan asas keadilan, semangat kejiranan, toleransi
dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun Islam. (Mahyudin Hj.Yahya
:1998:15). Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap unggul walaupun tidak
terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenajung Tanah Arab,
khususnya di bumi Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah.
* Akidah
Akidah merupakan satu konsep kepercayaan yang akan membentuk
iman kepada Allah SWT, para rasul, para Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan
Qada’ Qadar Allah. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan
dalam kehidupan manusia. Tauhid merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan
menjadi asas kepada kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah SWT akan mengubah
dan membentuk pandangan manusia terhadap Tuhan, sesama manusia dan alam
semesta.
Zaman Nabi Muhammad SAW merupakan zaman kegemilangan Tamadun
Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran mahupun ekonomi. Umat Islam
telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di Kota Madinah dengan
berasaskan akidah. Akidah yang mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu
sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan.
* Syariah
Syariah merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah ialah
peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Ia juga meliputi perilaku melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan alam.
Muamalah pula ialah peraturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek
akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam
dilihat sebagai pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga
menjadi pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan
keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat Islam. Ia
menjadi lambang kesucian agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan asas bagi
setiap penyusunan masyarakat dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh
diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula
adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam.
(Azhar, 2000: 129)
* Akhlak
Akhlak merupakan mekanisma yang menggerakkan umat Islam
menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang dibina
tidak mempunyai sebarang erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan
pelengkap kepada akidah dan syariah. Imam al-Ghazali menjelaskan akhlak
merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang akan
melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan
dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji ia
dinamakan akhlak yang baik (akhlak mahmudah), tetapi jika perbuatan atau
tingkah laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah).
(Aboebakar Atjeh, 1985:13)
Nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun sudah ada
dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani atau lain-lain tamadun.
Walau bagaimanapun, nilai-nilai murni dalam nilai akhlak disempurnakan oleh
Nabi Muhamad SAW. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah nilai baik
yang akan membentuk akhlak seseorang dan ia tidak ditentukan oleh akal manusia,
sebaliknya oleh wahyu Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya. Nilai yang diketengahkan
oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu,
nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa dan geografi. Akhlak
Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam rangka manusia
melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk perlakuan yang
berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak yang mulia.
* Ilmu
Kelahiran Tamadun Islam juga berasaskan ilmu pengetahuan
yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia
merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Penekanan kepada
ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat awal telah membangkitkan kesedaran
pentingnya pembinaan tamadun berasaskan pengetahuan. Sejarah kegemilangan
Tamadun Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan ummah terhadap budaya
ilmu dalam kehidupan seharian. Selain daripada kejayaan melahirkan
tenaga-tenaga mahir dan professional dalam pelbagai bidang, masyarakat Islam
juga mempunyai pegangan agama yang teguh, pemikiran yang tinggi dan akhlak yang
luhur.
Ilmu merupakan elemen penting yang menjadi pemangkin
pergerakan manusia. Penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan menjadikan masyarakat
Islam mampu melakukan penelitian, pengkajian dan menghasilkan penemuan baru
atau teknologi. Antara contoh intelektual Islam yang menjadi pemangkin budaya
ilmu pengetahuan dalam masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu
Maskawayh, Ibn Batutah, Ibnu Khaldun, al-Farabi, al-Kindi, al-Khawarizmi,
al-Ghazali, al-Biruni dan al-Battani. Selain itu, para ulama Islam turut berkembang
kerana pemilikan ilmu. Contohnya, Imam Shafie, Imam Maliki, Hanafi dan Hambali.
Mereka semua adalah intelektual Islam yang menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah
sebagai sumber utama ilmu mereka.
Pelbagai pencapaian yang berjaya dihasilkan merupakan puncak
kemampuan akal dan kejayaan manusia. Kejayaan ini menjadi dasar untuk membentuk
sesuatu tamadun bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk
lain. Oleh itu, dalam menangani era teknologi dan globalisasi hari ini, umat
Islam harus bersedia untuk memiliki segala kepakaran yang diperlukan demi
mempertingkatkan martabat umat Islam dan mengelak dari bergantung dengan pihak
lain. Umat Islam wajib berusaha memiliki pelbagai kepakaran, sama ada kepakaran
ilmu agama yang terus berkembang dan berubah, mahupun kepakaran ilmu dunia yang
berbentuk kemahiran dan daya cipta. Kepakaran ilmu dunia akan menyebabkan umat
Islam disanjung dan dijadikan rujukan, sementara kepakaran ilmu agama akan
menjadikan umat Islam umat yang teguh dengan dasar agamanya yang menganjurkan
keseimbangan antara kebahagiaan dunia dan akhirat.
Oleh itu, dapat ditegaskan bahawa semua yang terkandung
dalam ajaran Islam menjadi asas pembinaan tamadun kerana peningkatan dari aspek
spiritual (ma’nawi) akan mendorong kebangkitan fizikal. Kebanyakan tamadun
dunia lain juga terbina dengan berasaskan kepercayaan agama. Keteguhan kepada
pelaksanan agama menjadi faktor kepada peningkatan dan kemusnahan sesebuah
tamadun. Sebaliknya, tamadun yang mula menyeleweng dari dasar agama akan mempercepatkan
keruntuhan sesebuah tamadun. Berbeza dengan Islam sebagai din yang dipelihara
oleh Allah melalui cara yang dapat dikaji mahupun tidak. Penjagaan dari Allah
SWT menjadikan Tamadun Islam mampu bertahan lama sehingga kini. Hanya, pada
masa kini umat Islam kurang menghayati konsep Tamadun Islam sehingga mereka
leka dengan kepalsuan Tamadun Barat yang hanya menumpukan kepada kemegahan
dunia tanpa menggabungkan dengan kebahagian akhirat. Umat Islam hari ini
dibelenggu pelbagai masalah, kurang menghayati agama, ketinggalan dalam
menguasai ilmu dan teknologi hari ini. Kesungguhan menghayati Islam,
berdisiplin tinggi serta menguasai pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi
boleh memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menandingi Tamadun Barat hari
ini.
1.4.4 Sumber Tamadun Islam
Sumber Tamadun Islam terbahagi dua, iaitu sumber wahyu dan
sumber sekunder. Sumber wahyu terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
* Al-Qur’an.
Al-Qur’an mrupakan mukjizat yang diwahyukan oleh Allah SWT
melalui Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW dan membacanya dikira sebagai
ibadah. Al-Qur’an mengandungi keseluruhan ajaran Islam yang merangkumi konsep
ketuhanan, sistem perundangan, alam ghaib, nilai moral, fakta-fakta sains,
sejarah dan lain-lain lagi. Al-Qur’an sebagai mukjizat tetap terpelihara
daripada sebarang bentuk usaha penyelewengan dan penambahan.
Al-Qur’an sebagai sumber yang dapat disaksikan hingga ke
hari ini sentiasa menyeru umat Islam melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan
serta membangunkan alam untuk kebaikan bersama. Selain itu, al-Qur’an
menekankan aspek keadilan dan segala prinsip-prinsip sosial. Ahmad Shalaby
(1997:95) menegaskan, al-Qur’an al-Karim mengandungi asas-asas yang kukuh dan
sistem yang teguh bagi pendirian agama, tamadun dan dunia. Beliau menegaskan:
“Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini dengan
sebaiknya nescaya terbentuklah suatu sistem yang sempurna dan sesuai untuk
manusia seluruhnya di pelbagai zaman dan tempat”.
* Al-Sunnah.
Selain al-Qur’an, sumber kedua yang menjadi sumber Tamadun
Islam ialah sunnah atau hadis Nabi Muhammad SAW. Al-Sunnah ialah segala yang
disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan
serta sifat atau akhlak dan riwayat hidup baginda sebelum dan sesudah dilantik
menjadi Rasul.
Sumber ini diterima sebagai sumber yang benar dan
berautoriti dalam Tamadun Islam. Sunnah bukan sekadar bertindak sebagai
penafsir dan pengulas yang paling sahih walaupun kesahihannya mengambil tempat
kedua selepas al-Qu’ran, malah dari sudut lain, adalah tidak mungkin untuk
melihat agama Islam sebagai sesuatu yang sempurna tanpa bantuan dan penjelasan
al-Sunnah. Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa sunnah yang diterima
sebagai sumber autoriti ini hanyalah sunnah yang sahih sahaja. Sunnah dalam
bentuk ini sahaja yang boleh diterima pakai sebagai sumber, sementara Sunnah
yang sebaliknya tidak diterima. (Azhar 2000:103) Untuk mempastikan Sunnah yang
sahih dan sebaliknya, para ulama hadith telah berjaya membentuk satu ilmu
khusus yang dikenali dengan ilmu Mustalah al-Hadith. Hadis atau Sunnah menjadi
sumber penting kerana ia bukan sahaja menggambarkan keseluruhan agama Islam,
namun turut memaparkan secara jelas kandungan al-Qur’an yang menjadi pegangan
orang Islam.
* Sumber-sumber sekunder
Selain daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, terdapat sumber
lain yang berperanan sebagai pengukuh kepada penjanaan Tamadun Islam. Antaranya
ialah ijtihad, ijmak ulama’, al-Qias, Masalih al-Musalah dan al-Istihsan.
Kesemua sumber ini dihasilkan oleh pemikir Islam yang berusaha mencernakan
Islam dalam kehidupan seharian umat Islam yang semakin kompleks. Pemikiran
intelek dan ulama Islam yang melahirkan pelbagai kaedah Islam tetap berdasarkan
firman Allah dalam al-Qur’an dan hadith Nabi SAW.
Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadis yang
mendorong manusia belajar dan menggunakan akalnya atau memperkembangkan
semangat intelektualisma. Contohnya, ialah ayat-ayat yang disudahi dengan
ungkapan yang bermaksud ‘Apakah kamu tidak menggunakan akal’, ‘Apakah kamu
tidak berfikir’ dan lain-lain lagi. Ayat-ayat ini mengandungi maksud supaya
umat Islam menggunakan akal untuk memerhati dan mempelajari alam sekeliling. Di
samping itu, terdapat juga mekanisma lain yang kewujudannya merupakan
manifestasi kepada sumber-sumber ini seperti pembentukan pentadbiran yang
berkesan selari dengan ajaran Islam, monumen-monumen indah yang melambangkan
keagongan Islam dan ketinggian ilmu-ilmu Islam sehingga menjadi rujukan kepada
pembinaan tamadun lain. Tidak dinafikan juga keindahan seni Islam seperti seni
kaligrafi, seni bunyi, seni tampak dan sebagainya turut menarik perhatian dan
minat masyarakat dunia.
* Tamadun lain
Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun dan tidak
menolak segala kebaikan yang dihasilkan oleh tamadun-tamadun lain. Elemen ini
membolehkan Tamadun Islam berkembang tanpa sempadan masa dan geografi serta
bertoleransi terhadap agama dan budaya lain. Tamadun Islam telah berkembang ke
luar dari Semananjung Tanah Arab sampai ke Eropah, Alam Melayu dan Tanah Besar
Cina. Ketamadunan yang telah dicapai oleh bangsa-bangsa di luar Semenanjung
Tanah Arab ini tetap dipelihara oleh Tamadun Islam, bahkan diperkembangkan lagi
melalui aktiviti penterjemahan, penyelidikan dan penambahbaikan dengan
memasukkan unsur-unsur Islam. Sebagai contohnya, ilmu astronomi, aljebra dan
perubatan daripada tamadun Yunani, Cina dan India disesuaikan dengan ajaran
Islam dan telah dikembangkan oleh para sarjana muslim.
Ringkasnya, semua bentuk pembangunan atau kemajuan dalam
sesebuah masyarakat yang berteras Tamadun Islam hendaklah dibentuk dalam acuan
sumber-sumber tersebut.
1.4.5 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri tamadun yang dikemukakan oleh para sarjana Barat
seperti wujudnya penempatan, kemunculan kota atau bandar, peningkatan kualiti
hidup, wujudnya organisasi, bahasa dan penggunaan tulisan dan adanya daya reka
cipta, turut terkandung dalam masyarakat Islam yang menjadi penunjang Tamadun
Islam. Bahkan ciri-ciri Tamadun Islam lebih luas daripada yang dinyatakan.
Namun ciri-ciri khusus Tamadun Islam tersebut jarang diketengahkan. Ciri-ciri
khusus Tamadun Islam yang akan dipaparkan di bawah menggambarkan keistimewaan
dan nilai tersendiri dan nilai sebenar Tamadun Islam. Ciri-ciri ini menjadi
penentu sebab Tamadun Islam diterima oleh semua bangsa yang ada di dunia,
walaupun pada asalnya Tamadun Islam bermula pada bangsa Arab. Tamadun Islam
diterima oleh masyarakat India sehingga melahirkan era Kesultanan Delhi di
India yang berjaya dimantapkan oleh oleh Dinasti Babur sehingga terbinanya Taj
Mahal yang menjadi mercu tanda Islam di India. Tamadun Islam diterima oleh
masyarakat Cina pada zaman Dinasti Ming. Tamadun Islam diterima oleh masayrakat
Melayu di pelbagai pulau dan daratannya. Tamadun Islam diterima oleh masayrakat
Eropah seperti di Sepanyol sahingga terbinanya Istana al-Hamra’ di Granada.
Ringkasnya, kebanyakan bangsa di dunia boleh menerima Tamadun Islam kerana
ciri-ciri khusus ini. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
* Rabbani
Ciri rabbani menunjukkan Tamadun Islam di dasari oleh
nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Menerusi ciri ini, umat Islam sedar
hakikat keberadaannya di dunia ini adalah sebagai khalifah Allah yang
diamanahkan untuk membangunkan setiap wilayah yang diduduki. Sumber, matlamat
dan tujuan kehidupan manusia berteraskan ketetapan Allah SWT yang terkandung
dalam al-Qur’an. Selain itu, ciri ini juga menjadikan umat Islam sedar bahawa
tujuan penciptaan manusia adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba
Allah SWT. Perhubungan manusia dengan Allah SWT merupakan matlamat tertinggi
dalam Tamadun Islam. Sementara perhubungan manusia sesama manusia dan alam
lainnya adalah pelengkap hubungan dengan Maha Pencipta. (lihat surah al-Taubah:
24, al-Zukhruf: 59) Ciri ini juga menjadi bukti semua bangsa adalah sama dalam
masyarakat Islam. Pembezanya hanyalah iman dan takwa, bukan warna kulit,
pangkat, keturunan dan kekayaan. Oleh itu, ciri ini merupakan tunggak utama
Tamadun Islam dan asas perbezaan Tamadun Islam dengan tamadun lain.
* Keseimbangan dan kesederhanaan.
Kesimbangan bermaksud seimbang antara dua keadaan yang
bertentangan. Konsep keseimbangan dalam Tamadun Islam merangkumi kerohanian
(spiritual) dan kebendaan (material), tanggungjawab ibadat kepada Allah dan
urusan kehidupan dunia, kepentingan individu dengan masyarakat dan keseimbangan
nilai spiritual dengan material.
* Universal
Tamadun Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu, tempat
dan tempoh tertentu, bahkan Tamadun Islam milik seluruh manusia yang berpegang
kepada Din al-Islam. Ini bermakna Tamadun Islam sesuai dengan segala bangsa dan
situasi. Ia juga menepati keperluan dan peredaran zaman. Tamadun Islam
berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa atau
kawasan tertentu. Dengan ciri ini terbukalah ruang kepada semua bangsa di dunia
untuk membentuk masyarakat Islam dan membina tamadun sejagat.
* Ideal dan realistik
Islam sentiasa meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan
yang paling tinggi dan dapat dicapai dengan memberi landasan kukuh kepada
seluruh kegiatan agar tidak bercanggah dengan ajaran Allah SWT. Ciri realistik
mengambil kira kehidupan manusia di alam sejagat dengan kepercayaan bahawa alam
sejagat merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia nyata. Dunia nyata adalah
antara bukti kewujudan Allah SWT yang Maha Pencipta.
* Tetap dan anjal
Tamadun Islam mempunyai prinsip yang tetap dan tidak berubah
pada sasaran dan matlamat pembinaan tamadun, tetapi anjal dari sudut cara dan
teknik pelaksanaanya. Islam memberi kebebasan dari sudut merealisasikan tamadun
pada setiap bangsa yang berbeza dengan mengambil kira matlamat yang harus di
capai, bukan kemajuan dari sudut kebendaan semata-mata.
* Menyeluruh
Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk
aspek akidah, syariat (undang-undang) dan akhlak. Demikian juga hubungan
manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan
alam. Ia juga merupakan satu seruan keadilan untuk semua manusia, sama ada
Islam atau bukan Islam, musuh atau lawan dan mempunyai hubungan keluarga
ataupun tidak. Dari aspek kehakiman, Tamadun Islam telah terbukti dapat
mengembalikan hak kepada yang empunya, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah
Islam. Tamadun Islam juga menyentuh aspek kenegaraan yang meliputi hubungan
dalam negara mahupun antarabangsa.
1.4.6 Matlamat Tamadun Islam
Para sarjana Tamadun Islam telah merumuskan matlamat Tamadun
Islam seperti berikut :
* Menjaga hubungan baik antara makhluk dengan Khaliq
Penjagaan hubungan baik dalam Tamadun Islam terbentuk
melalui keimanan yang mantap, akidah yang lurus dan pengabdian kepada Allah SWT
semata-mata seperti yang terkandung dalam konsep tauhid rububiyyah dan tauhid
uluhiyyah. Hubungan dengan Allah merupakan hubungan ubudiyyah dan sama sekali
tidak menyamai dengan sebarang hubungan lain.
Menjaga hubungan dengan Allah merupakan matlamat terakhir
dan kemuncak hubungan-hubungan yang lain. Pada hakikatnya, hubungan dengan
manusia dan alam lainnya akan kembali kepada perhubungan yang kudus dengan
Pencipta Alam, iaitu Allah SWT seperti yang dapat difaham pada surah
at-Taubah:24. (Amir A.Rahman,1991:4).
* Menjaga hubungan baik sesama manusia.
Manusia tidak dapat hidup bersendirian, lebih-lebih lagi
dalam membina tamadun dan kemajuan. Justeru itu Islam menggariskan peraturan
dalam membina hubungan tersebut dengan menghayati segala sifat terpuji dan
menjauhi sifat tercela. .Sifat yang dituntut oleh Islam antaranya saling
membantu pada perkara takwa dan kebaikan dan tidak membantu pada perkara dosa
dan keburukan seperti yang terakam pada surah al-Maidah: 2. Selain itu, Tamadun
Islam menjaga kesejahteraan sesama manusia dengan mengharamkan tuduh menuduh,
mengumpat, mengeji, mencuri dan lain-lain. Masyarakat Islam ialah masyarakat
yang universal. Ia terbuka kepada seluruh umat manusia. Sifat universal ini
memerlukan wujudnya masyarakat yang saling berkomunikasi dengan baik dan
berdisiplin seperti pada surah surah al-Hujurat:13.
* Menjaga hubungan antara makhluk dan alam
Dalam membina tamadun, Islam membentuk manusia supaya
menjaga hubungan yang baik dengan makhluk lain. Sebagai contohnya, Islam
mengharamkan pembunuhan binatang tanpa sebab yang diharuskan atau membunuh
haiwan dengan cara yang zalim dan kejam. Antara penentuan garisan yang telah
ditentukan oleh al-Qur’an sebagai sumber utama Tamadun Islam dalam menjalin
hubungan harmoni antara makhluk dengan alam dapat dilihat pada firman Allah
seperti berikut:
a) Hubungan dengan binatang, surah Yasin:72,
b) Hubungan dengan tumbuh-tumbuhan, surah an-Nahl:10 -11.
c) Hubungan dengan laut, surah an-Nahl:14.
d) Hubungan dengan cakerawala, surah Ibrahim: 32 - 33.
Terdapat hampir 500 ayat al-Qur’an yang menyentuh persoalan
alam sekitar dan tanggungjawab mengurusnya. Demikian juga Sunnah Rasulullah SAW
banyak memberi petunjuk yang menekankan kepentingan memulihara alam sekitar
(Mohd Zuhdi, 2002:127) .
* Menjaga kewarasan akal
Akal merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia.
Keistimewaan manusia berbanding makhluk lain terletak pada akal yang sempurna
dan waras. Dalam membina kemajuan dan peradaban, akal yang waras mestilah
dijaga dan diarahkan untuk tujuan yang murni dan baik, bukan untuk membawa
kemusnahan kepada diri sendiri dan manusia lain. Justeru itu, Islam
mengharamkan segala perbuatan merosakkan akal seperti mengambil minuman yang
memabukkan, penagihan dadah dan seumpamanya seperti yang terakam dalam surah al-Maidah:
32.
* Menjaga diri dan nyawa
Nyawa merupakan kurnia Allah SWT untuk memberi peluang dan
bekalan kepada manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Lantaran itu, dalam membina
tamadun dan kemajuan, ajaran Islam menekankan penjagaan nyawa manusia. Justeru
jiwa dan nyawa manusia milik mutlak Allah SWT, sedangkan manusia adalah pemilik
secara nisbi sahaja, maka mereka mestilah memelihara nyawa sendiri dan orang
lain. Penekanan ini menyebabkan Islam mengharam membunuh diri dan melakukan
pembunuhan kepada orang lain seperti dalam surah an-Nisa’:29. Sehubungan itu,
dalam membina kemajuan dan peradaban, Islam juga mengharamkan tujuan kemajuan
adalah untuk kemusnahan seperti pembinaan senjata nuklear dan kimia untuk
membunuh orang lain atau membawa kehancuran.
* Menjaga zuriat dan keturunan
Islam mengambil berat aspek penerusan zuriat dan keturunan
dengan menekankan perkembangan keturunan yang baik selaras dengan kemajuan.
Keturunan yang baik mestilah melalui perkahwinan. Sehubungan itu, Islam
mengharamkan segala bentuk pergaulan bebas dan perbuatan zina. Islam juga
mensyariatkan undang-undang yang tegas bagi kesalahan zina. Syariat ini
bertujuan untuk memastikan zuriat dan keturunan manusia terpelihara sesuai
dengan kemuliaan manusia sebagai khalifah Allah seperti yang dapat difaham pada
surah al-Isra’:31 dan surah an-Nur:2.
* Menjaga keselamatan harta
Islam tidak menegah pengumpulan harta dan usaha untuk
mencari kekayaan. Namun Islam menekankan matlamat dan usaha tersebut mestilah
selari dengan kehendak Islam, seperti mencari hasil yang halal dan
membelanjakan harta untuk tujuan yang baik dan diharuskan oleh syarak. Dalam
membina tamadun, Islam menekankan keselamatan harta. Justeru itu, Islam tidak
membenarkan sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan terhadap harta orang
lain seperti mencuri, merompak atau urus niaga yang berasaskan riba seperti
yang dapat dilihat pada surah al-Qashash:77 dan surah al-Maidah:38.
Oleh itu, selain bermatlamat menjaga hubungan manusia dengan
Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar, Tamadun Islam juga bermatlamat
menjamin keselamatan nyawa, akal, tubuh badan, harta dan keturunan. Semua
objektif ini hanyalah untuk memperoleh keredaan Allah SWT dan kebahagiaan hidup
di dunia dan di akhirat.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa
konsep tamadun menurut perspektif Islam ialah paduan antara pembangunan
material dan spiritual atau antara kebendaan dan kerohanian dan antara memenuhi
tuntutan fitrah manusia yang bersifat jasad dan roh. Inilah yang melayakkan
Tamadun Islam menjadi tamadun yang universal. Selain itu, kita akan dapat
melihat perbezaan yang ketara antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain
seperti Tamadun Barat. Tamadun Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian
kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah masyarakat itu
bertamadun atau sebaliknya, manakala Tamadun Islam mengimbangi antara
pembangunan material dan spiritual. Kesyumulan Tamadun Islam diinspirasikan
dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bukanlah kebaikan kepada kamu orang-orang yang meninggalkan
kepentingan duniawi untuk akhirat. Dan tidak ada kebaikan bagi kamu orang-orang
yang meninggalkan kepentingan akhirat untuk dunia, akan tetapi paling baik bagi
kamu yang mengambil dari ini dan ini” (kedua-duanya secara sepadu). (Riwayat
Bukhari)
Kesepaduan dalam Tamadun Islam berlaku tanpa pengabaian
mana-mana aspek, jika berlaku pengabaian akan membawa kepada kepincangan dan
kecacatan. Malah pada pandangan Islam ia tidak memenuhi maksud Tamadun Islam
yang sebenarnya.
1.5 KONSEP TAMADUN BARAT
Tamadun Barat diasaskan kepada pemikiran yang bersumberkan
Tamadun Greek Yunani dan Rom purba yang muncul pada tahun 2000 S.M. Kedua-dua
tamadun ia banyak memberi inspirasi kepada kemunculan dan kekuatan Tamadun
Barat. Ini menjadikan Tamadun Barat tegak atas landasan idealisme sekular yang
mementingkan pemikiran logik sebagaimana Tamadun Yunani yang lebih menekankan
keagungan manusia dari faktor ketuhanan.
Pemikir dan golongan intelektual Yunani telah mencorakkan
masyarakat Yunani ke arah pemisahan agama dari kehidupan keduniaan. Tokoh utama
dalam zaman ini adalah Socrates, Plato dan Aristotale. Socrates dalam dialognya
telah menegaskan bahawa “pada hakikatnya tidak ada nilai moral dan spiritual
yang mutlak”. Oleh itu, manusia hendaklah bergembira sepenuhnya dalam kehidupan
dunia. Inilah matlamat utama kehidupan manusia, iaitu keseronokan pancaindera
dan memenuhi runtunan hawa nafsu dan syahwat kehaiwanan. Mereka bergantung
sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa merujuk atau dibantu oleh ajaran
ketuhanan. Sehubungan ini, Abu Hassan Ali an-Nadawi (1984) telah menjelaskan
ciri-ciri khusus Tamadun Yunani seperti berikut:
i. Percaya kepada apa sahaja yang dapat dicapai oleh panca
indera.
ii. Kurang rasa keagamaan dan kecintaan melampau kepada kehidupan
dunia.
iii. Fanatisme kebangsaan yang melampau.
Oleh itu, pemikiran dan keinginan manusia menjadi sumber,
rujukan dan matlamat utama dalam pembangunan dan pembinaan tamadun Barat.
Idealisme sekular merupakan tema yang dominan dalam Tamadun Barat.
1.5.1 Sejarah Tamadun Barat
Kemunculan Tamadun Barat bermula dengan kebangkitan
masyarakat Eropah yang tidak senang dengan pemerintahan golongan gereja Katolik
yang menindas, mengongkong dan menzalimi rakyat yang inginkan perubahan.
Golongan gereja tidak menerima sebarang bentuk perubahan kecuali suatu idea dan
kehendak yang muncul daripada golongan gereja sendiri. Akibatnya, muncul aliran
baru dalam agama kristian iaitu Protestan. Sementara itu, para pemikir dan
pemimpin revolusi muncul dengan slogan baru yang berbunyi Give it to Ceaser
what it is and give it to God what everythings belongs to God. Penafian hak
gereja dalam seluruh sistem pemerintahan bermula apabila gereja diketepikan dan
dianggap sebagai hak peribadi dan bukan lagi hak masyarakat dan negara.
Pergerakan para pemikir bertitik tolak dari fenomena ini
yang membentuk satu corak baru dalam masyarakat Barat iaitu kehidupan
berasaskan kepada alam nyata yang ada di dunia. Corak ini termaksud dalam
istilah sekularisma. Sekularisma menjadi titik tolak kepada zaman peralihan di
barat daripada zaman gelap kepada zaman Renaissance. Zaman Renaissance yang
bererti zaman “menghidupkan kembali Tamadun Yunani” menunjukkan pembinaan
masyarakat baru Barat adalah berasaskan sejarah Tamadun Yunani yang berlandaskan
logik akal.
Pengaliran Tamadun Islam ke Eropah sejak abad ke-9 hingga
abad ke-12 M menjadi faktor utama pembukaan minda masyarakat Barat yang datang
ke Sepanyol dan Pulau Sicily yang berada di bawah kekuasaan Tamadun Islam di
Eropah. Mereka datang untuk menimba ilmu pengetahuan yang dipelopori oleh para
sarjana Islam. Kesedaran yang timbul telah mencetuskan “Zaman Peralihan” dan
kemudiannya Zaman Renaissance di Barat. Zaman ini telah menyebabkan pemikiran
masyarakat terbuka luas dan secara tidak langsung menimbulkan permusuhan
terhadap gereja yang berakhir dengan kejatuhan golongan gereja.
Gerakan Renaissance di Barat atau dikenal juga gerakan
pencerahan selepas melalui zaman kegelapan hakikatnya adalah suatu gerakan
untuk melepas diri dari unsur-unsur kerohanian dan cengkaman pihak gereja
kerana ajarannya tidak lagi mampu menangani dan menyelesaikan masalah
masyarakat, terutama dalam soal-soal hidup seharian dan perkembangan ilmu
pengetahuan termasuk penyelidikan sains dan teknologi. Akhirnya lahir fahaman sekular
yang memisahkan urusan kehidupan harian dengan persoalan agama. Asas masyarakat
baru ini adalah pemikiran materialistik, rasionalistik dan fizikal masyarakat
Yunani dan Romawi purba.
Sejurus berlakunya Renaissance, muncul Revolusi
Perindustrian di Perancis yang membangkitkan pemikiran masyarakat Barat untuk
maju dalam bidang sains dan teknologi. Penciptaan demi penciptaan telah
diterokai oleh saintis Barat. Antaranya, teknologi perindustrian, kereta,
kapalterbang, telefon dan lain-lain. Kilang-kilang yang menggerakkan
perindustrian tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Keadaan ini menyebabkan
masyarakat mula mengagungkan sains moden barat. Pengetahuan dalam sains dan
teknologi memberi jawapan kepada segala permasalahan dunia yang sebelum zaman
ini hanya disandarkan kepada gereja. Kejayaan menjawab segala masalah ini
mendorong ke arah pemikiran yang lebih ke hadapan yang akhirnya saintis Barat
berjaya mencipta roket untuk membawa angkasawan mereka menjelajah angkasa lepas
dan akhirnya mendarat di bulan.
1.5.2 Perbezaan Tamadun dan Tamadun Islam
Latarbelakang di atas membuktikan terdapat perbezaan yang
jelas antara Tamadun Barat dan Tamadun Islam yang bertitik tolak dari perbezaan
latar belakang kemunculan tamadun dan asas yang menggerakkan dua tamadun penting
dunia. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut :
Tamadun Islam vs Tamadun Barat
Asas:
Berasaskan tauhid yang tegak pada aqidah, syariah dan
akhlak. Aqidah ialah keyakinan kepada Allah dan lain-nya yang terangkum dalam
Rukun Iman. Syariah ialah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah yang
meliputi segala aspek kedihupan, seperti politik, undang-undang, ekonomi,
pendidikan dan sosial. Akhlak pula ialah perlakuan yang berasaskan kepada
akhlak Rasulullah SAW.
Berasaskan logik, panca indera dan materialisme. Logik
bersumber kepada akal manusia. Pancaindera manusia yang lima memberi maklumat
kepada akal untuk ditafsirkan. Materialisma merupakan kesan pemikiran yang
berjaya menghasilkan sesuatu dalam bentuk barang atau benda.
Sumber asasi:
Mutlak kerana ia bersumber wahyu dari Allah yang disampaikan
kepada manusia pilihan lagi maksum yang akan menerima utusan-Nya, iaitu Nabi
Muhammad SAW.
Wahyu dari Allah dikenal sebagai al-Qur’an yang kemudiannya
ditulis dan dikumpulkan dalam satu naskhah. Sumber ini telah ditafsirkan oleh
Rasulullah untuk direalitikan dalam kehidupan masyarakat manusia.
Pemikiran manusia semata-mata yang sentiasa berubah-ubah,
tanpa kepercayaan kepada agama dan kuasa ghaib
Cendikiawan dan intelektual memainkan peranan yang besar.
Ini melahirkan ramai tokoh pemikir Barat seperti Herbert Spencer, Karl Marx, C.
Darwin, Isacc Newton dan lain-lain.
Matlamat:
Keampunan dan keredaan Allah di samping kebahagiaan dunia
dan akhirat.
Keseronokan hidup dunia semata-mata dan kepuasan segelintir
manusia.
Kedudukan agama:
Islam satu cara hidup yang menyeliputi segala aspek
kehidupan.
Pembaharuan dalam Islam berlaku berdasarkan agama dan bukan
agama mengikut perubahan. Walaupun begitu Islam berprisip tetap dan fleksibel
dan tidak rigid.
Agama sebahagian daripada kebudayaan dan tertakluk kepada
kebudayaan. Kebudayaan sentiasa mengalami perubahan dan agama juga dicorak oleh
perubahan dan pembaharuan.
Konsep kemajuan:
Islam menekankan kedua-dua aspek kerohanian dan kebendaan.
Kerohanian dicapai melalui pengamalan perintah Allah sementara kebendaan di
capai melalui penggunaan akal yang berteraskan kepada Firman Allah.
Kemajuan dalam Islam bersifat lengkap. Pembangunan dan
kemajuan adalah alat dan matlamat pembangunan dalam Islam adalah manusia. Islam
menolak konsep matlamat menghalalkan cara.
Tamadun Barat melihat perkara-perkara keduniaan hanya
kehidupan dunia semata-mata. Segala urusan tidak ada kaitan dengan agama.
Tamadun ini juga menitikberatkan aspek kebendaan dengan
mengenepikan aspek kerohanian. Oleh itu, ia mengabaikan aspek kemajuan dari
sudut kerohaniaan atau spiritual. Kemajuan berdasarkan keuntungan semata-mata
dan berpegang kepada konsep “matlamat menghalalkan cara”.
Ringkasnya, kejayaan renaissance di Eropah telah menyebabkan
berkembangnya fahaman sekular secara meluas. Masyarakat Eropah melakukan
perubahan dalam kehidupan dengan berasaskan fahaman ini. Akhirnya fahaman ini
telah mendominasi pemikiran dan kehidupan Barat. Fahaman Barat yang berteraskan
sekularisme telah melahirkan pelbagai ideologi di Barat seperti Modenisme,
Rasionalisme, Liberialisme, Kapitalisme, Pragmatisme, Kolonialisme dan
Materialisme. Ideologi ini begitu berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan
mereka terutamanya ekonomi, politik dan sosial.
1.6 JATUH BANGUN TAMADUN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Islam menganggap tamadun bertitik tolak dari ajaran agama.
Demikian juga kelahiran sesebuah tamadun berpunca daripada Islam sebagai agama
yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Islam telah memberi
sinar kepada masyarakat untuk menyempurnakan tamadun yang dibina. Tidak
dinafikan semasa perutusan Rasulullah SAW, masyarakat Arab sudah mencapai
beberapa kemajuan. Justeru, kedatangan Islam telah memisahkan masyarakat Arab
daripada amalan jahiliah kepada amalan bijaksana berlandaskan Islam. Pengabaian
nilai-nilai agama, intelektual dan ketiadaan pimpinan yang berwibawa menjadi
tanda awal dan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun yang dibina, walaupun
bangunan kukuh yang didirikan masih tersergam indah. Hal ini terjadi kerana
pembangunan fizikal semata-mata yang bersifat material tidak dapat menjamin
keabadian sesebuah tamadun.
1.6.1 Keagamaan
Faktor agama yang bertunjang kepada tauhid merupakan aspek
teras dalam pembinaan Tamadun Islam. Dalam usaha membina sebuah masyarakat
bertamadun melalui penyampaian dakwah, Rasulullah S.A.W. menekankan aspek iman,
Islam dan ihsan serta mempraktikkan unsur ini dalam kehidupan masyarakat Islam.
Sebagai pemimpin yang berwawasan dan berjiwa besar baginda
telah berjaya membina satu generasi yang memiliki iman yang kental dan sanggup
berjuang berhabis-habisan demi mempertahankan Islam. Generasi ini tidak gentar
dengan sebarang kemungkinan, hanya mengharapkan mati syahid apabila berada di
medan juang. Walaupun jumlah mereka kecil berbanding pihak lawan. Ketinggian
nilai-nilai keimanan telah memberi kesan besar pada kejayaan pembinaan Tamadun
Islam yang berpusat di kota Madinah. Kota Makkah juga dapat dikuasai sepenuhnya
dan dibersihkan dari unsur-unsur tamadun yang bercanggah dengan Islam.
Dalam pembinaan tamadun, Islam memaparkan kisah-kisah
sejarah silam sebagai iktibar. Kesemua kisah yang diulang kembali oleh
al-Qur’an memaparkan kesan buruk dan kemusnahan tamadun akibat sesebuah
masyarakat cuba menyalahi landasan agama tauhid yang telah disampaikan kepada
mereka. Selain ini mereka juga mengingkari ajaran yang disampaikan oleh para
nabi. Sebagai contohnya, ketinggian tamadun yang didirikan oleh Firaun, kaum
‘Ad dan kaum Thamud telah mengalami kehancuran kerana keingkaran kepada Allah
Yang Maha Esa.
1.6.2 Nilai-nilai akhlak
Ketinggian nilai-nilai akhlak yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW merupakan kunci kejayaan dalam pembentukan Tamadun Islam.
Prinsip dan nilai murni yang dipaparkan dalam kepimpinan Rasulullah SAW dapat
menjadi pedoman kepada generasi berikutnya untuk membina satu tamadun bangsa
yang gemilang.
Akhlak memainkan peranan yang sama penting dalam pembinaan
dan keutuhan sesebuah tamadun. Apabila nilai-nilai akhlak diabaikan, tamadun
sesuatu bangsa akan menemui kehancuran sebagaimana yang berlaku ke atas umat
Nabi Luth. Dengan penuh gaya mencabar kaum Nabi Luth, memomokkan kenabian Nabi
Luth dan memaparkan akhlak buruk yang menyalahi tabie manusia.
1.6.3 Politik dan pemerintahan
Politik dan pemerintahan turut memainkan peranan yang
penting dalam menentukan bangun jatuh sesebuah kerajaan dan ketamadunan sesuatu
bangsa. Politik yang stabil dan kepimpinan yang berwibawa akan dapat
mengekalkan sesebuah tamadun. Sebaliknya, kepincangan dan kelemahan kepimpinan
akan mempercepatkan berakhir sesebuah kerajaan yang dibina oleh tamadun
sesebuah bangsa.
Sejarah membuktikan bahawa kepimpinan yang berdaya maju,
pemerintahan yang adil dan perpaduan dalam politik telah meninggikan tamadun
sesuatu bangsa. Sebaliknya, apabila pemimpin mementingkan diri sendiri,
berfoya-foya, melakukan penyelewengan, rasuah berleluasa di kalangan para
pegawai kerajaan, keruntuhan akhlak dan moral akan melemahkan pemerintahan dan
benteng pertahanan negara mudah dimusnah.
Pembentukan Kerajaan Islam Madinah menjadi bukti bahawa
Islam dapat dipraktikkan secara menyeluruh dalam kehidupan harian. Tamadun
Islam yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah menjadi titik tolak kepada
pembinaan tamadun Islam seterusnya.
Para khalifah Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah berjaya
membina tamadun Islam dengan wujudnya pelbagai bidang kemajuan. Kemajuan yang
dapat dicapai dalam pelbagai bidang terutamanya bidang keilmuan adalah hasil
daripada usaha pemimpin yang amat berwibawa. Khalifah Harun al-Rashid dan
al-Makmun adalah antara pemerintah Abbasiyyah yang sangat menekankan aspek
keilmuan. Sumbangan mereka yang terpenting ialah pembentukan Baitul Hikmah,
yang merupakan sebuah perpustakaan besar. Kegiatan keilmuan yang aktif di
Baitul Hikmah telah menghidupkan peranan perpustakaan. Ini merupakan mutiara
yang amat bernilai dalam sejarah tamadun Islam. Demikian juga, gandingan mantap
Sultan Mansor Syah dan Bendahara Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melayu
Melaka telah menjadikan Melaka sebagai pusat Tamadun Islam di Asia Tenggara
yang terunggul.
Sejarah juga memaparkan bahawa keadaan politik yang kacau
bilau, kelemahan pentadbiran, pergolakan dalaman menjadi faktor keruntuhan
sesebuah kerajaan. Suasana ini dapat dilihat pada kejatuhan Kerajaan Bani
Umayah, Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan Islam di Andalus dan Kerajaan
Uthmaniyah di Turki. Pergolakan dalaman dan kelemahan pemerintahan menyebabkan
tamadun yang dibina penuh gemilang menemui titik penamat.
1.6.4 Sosial
Kestabilan sosial antara individu dan masyarakat dengan
berteraskan ilmu, kemajuan dan minda yang mempunyai gagasan boleh meningkatkan
martabat bangsa dan meninggikan tamadun yang dibina. Hal inilah yang dapat kita
saksikan semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya di zaman Rasulullah S.A.W.
Walaupun kuantiti umat Islam kecil berbanding dengan orang bukan Islam, namun
mereka mampu membina masyarakat yang berkualiti. Gambaran masyarakat sebegini
dapat dilihat pada komuniti Muhajirin dan Ansar yang berpusat di Madinah.
Pembinaan Tamadun Islam yang ditunjangi oleh sosial secara harmoni antara dua
kelompok ini mampu mengembangkan tamadun ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah
Arab, malah terus berkembang ke seluruh dunia timur dan barat.
Sebaliknya, sistem sosial yang longgar kerana kerapuhan
jatidiri sehingga masyarakat dibuai dengan kelekaan kerana kemewahan dan gemar
kepada hiburan yang berlebihan dan bebas (budaya hedonistik) mengundang
keruntuhan sosial dan memberi pengaruh besar kepada keruntuhan sesebuah
tamadun.
1.6.5 Ekonomi
Faktor ekonomi juga adalah antara faktor yang membantu
mengembangkan lagi sesebuah tamadun. Sejarah membuktikan masyarakat yang
bertamadun tinggi mengamalkan ekonomi perdagangan, pertanian, penternakan
bertaraf antara bangsa, walaupun mereka bermula dari kegiatan ekonomi sara
diri.
Sebagai contoh, masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka berjaya membina satu pusat perdagangan bertaraf antara bangsa di
Pelabuhan Melaka. Pelabuhan ini berjaya menjadi pusat persinggahan para
pedagang Arab, India, Cina dan bangsa Eropah. Walaupun kemudiannya, kegiatan
perdagangan import eksport yang rancak di Pelabuhan Melaka telah beralih ke
Singapura setelah keutuhan Tamadun Melayu Melaka mengalami keretakan.
1.6.6 Penguasaan bidang keilmuan
Penguasaan pelbagai bidang ilmu-ilmu dan kemunculan sains
dan teknologi memantapkan lagi pembinaan dan penerusan sesebuah tamadun.
Kelahiran para sarjana dan kepelbagain kegiatan keilmuan mendorong ke arah
pembinaan pusat-pusat intelektual. Lembaran sejarah mencatatkan Baghdad,
Andalus, Melaka dan Patani adalah antara pusat intelektual yang terkenal.
Apabila penguasaan politik sesebuah kerajaan mula runtuh,
pusat-pusat intelektual yang diwujud pada sesebuah kerajaan tidak akan runtuh,
tetapi sebaliknya ia akan berpindah ke wilayah lain yang aman. Sejajar itu juga
terbina pula kerajaan baru ditempat perletakan pusat intelaktual yang
dipindahkan. Sejarah di Alam Melayu dapat disaksikan sebagai contoh. Apabila
peranan Melaka sebagai pusat intelektual telah berakhir, maka peranan ini telah
diambil alih oleh Kerajaan Acheh Darussalam.
Demikian juga dengan penguasaan bidang sains dan teknologi.
Situasi masa kini menunjukkan bidang ini amat penting dalam penerusan tamadun
bangsa. Perkembangan dewasa kini membuktikan penguasaan Barat terhadap tamadun
dunia ialah kerana kemajuan yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.